Sunday, January 12, 2020

Pakistan Part 2 (Muzafarabad Kashmir)

Setelah selesai kami meneroka kota Islamabad dari awal pagi di Sainturus Mall, Masjid Faisal dan makan tengah hari di Puncak Margalla Hills lalu terus bermain bowling dan mengambil angin malam sambil menghayati suasana di Jinnah Park, Islamabad terasa hari tersebut penuh diisi. Kami betul betul meluangkan masa dengan aktiviti 'warm up' semasa hari kedua di Islamabad. Selesai semua aktiviti yang santai, kami terus balik ke rumah dan menikmati teh chai dan capati hasil tangan Bibi. Untuk hari ketiga kami merancang untuk ke Murree dan pulang semula ke Islamabad tetapi perancangan Dia adalah yang terbaik, kami dapat meneruskan perjalanan ke Kashmir. 

Kashmir bukanlah dalam perancangan kami tetapi disebabkan laluan dari Murree ke Kashmir tidaklah terlalu jauh jadi last minute kami bersetuju untuk teruskan perjalanan terus ke Kashmir selepas menghirup teh chai di tepi lereng-lereng gunung yang dipenuhi salji semasa di Murree. Kawasan di Murree memang cantik dan ketika itu salji sudah mula menghiasi gunung-gunung. Setiap pemandangan dan kawasan yang cantik, kami akan berhenti untuk bergambar terlebih dahulu sambil memuji dan menghayati keindahan dunia yang Dia beri. Subhanallah indah sekali. Pakistan memang satu negara yang bagi aku semua serba cukup dan lengkap. 

Islamabad ke Kashmir mengambil masa dalam 2 jam setengah dan laluan di sana agak mencabar kerana jalan yang berbukit,bengkang-bengkok, sempit dan tidak rata membuatkan badan cepat letih apabila berada di dalam kereta seharian. Jadi eloklah berhenti untuk singgah di tepian gunung bergambar atau masjid untuk solat. Sepanjang perjalanan dari Islamabad ke Murree aku tertarik dengan jualan Cadar atau di Malaysia lebih dikenali sebagai Pashmina. Cadar yang dijual digantung dan disusun begitu kemas sekali. Sulaman bunga dan corak adalah 100% buatan sendiri dan hasil tangan orang tempatan. Aku pun mengambil satu untuk kenangan dan cuba memakai seperti orang Pakistan. 

Kashmir adalah salah satu negara yang jadi rebutan kerana keindahan pemandangan dan kesuburan hasil tanaman yang subur seperti buah-buahan dan sayur-sayuran persis juga di beberapa daerah Pakistan yang subur dengan buah limau, gandum, tebu, bawang dan banyak lagi! Sejak isu rebutan Kashmir, menjadikan hubungan Pakistan dan India tidak baik dan ia menyebabkan tomato tidak lagi diberikan kepada Pakistan dan bawang juga tidak dihantar ke India. Dipendekkan cerita, India rugi bawang dan Pakistan rugi tomato yang sebelum ini kedua-dua negara yang saling memerlukan.Untuk masuk ke Kashmir, kawalan mereka juga sangat ketat kerana ada beberapa 'check post' sebelum jejak ke Kashmir. 

Sebelum sampai di Kashmir, kami belum menempah hotel atau tempat bermalam lalu cepat-cepat aku ambil smartphone dan masuk booking.com untuk membuat tempahan dan mujur masih ada ruang untuk kami bermalam. Semasa di 'check post' agak lama Asad disoal siasat dibawa bersama kelima-lima passport kami dan kami menunggu di dalam kereta. Memandangkan interview di polis itu mengambil masa yang agak lama, kami sempat lagi turun dan menghayati udara Kashmir di Jhelum River dan terus solat Jamak di  situ. Rata-rata penduduk Kashmir adalah muslim jadi tak perlu risau jika ingin solat di sana. Kami tidak boleh pergi sehingga ke hujung daerah Kashmir dan hanya beberapa daerah sahaja kami dapat pergi. Berlainan pula dengan passport aku, bak kata polis Kashmir, passport aku boleh pergi hingga ke hujung Kashmir kerana terdapat cop banyak nergara dan mereka tahu aku adalah seorang pelancong biasa bukanlah pengintip atau pengganas. Manakala, passport yang lain hanya boleh melawat sehingga daerah Neelum sahaja. 

Ketika masuk di Kashmir, waktu sudah hampir malam iaitu jam 5 petang dan sudah pun masuk waktu Maghrib. Kami sudah siap-siap solat jamak dan hanyak perlu meneruskan perjalanan terus ke Kashmir Lodge yang baru sahaja selesai ditempah semasa di check-post Kashmir. Oh ya sebelum terlupa, polis juga minta apa perancangan kami dan tujuan kami ke Kashmir. Mereka meminta itinari dan juga tempat tinggal kami di sana. Selesai semua sesi soal siasat dan polis tersebut mengucapkan 
'Welcome to Kashmir' sambil mengangkat tangan di kepala persis askar di sini, terasa lega sekali kami dilepaskan masuk ke Kashmir untuk pertama kali. 

Laluan yang dihiasi gunung-ganang dan sungai yang indah membuatkan rasa dan semangat berkobar-kobar untuk meneroka bandar Kashmir. Hari sudah hampir gelap, sambil melayan sunset didengari lagu-lagu tempatan orang Pakistan terasa seperti di dalam mimpi. Tiba-tiba terasa kesimbangan kereta tidak berapa lancar lalu Asad bertanya, "Hanis ada rasa lain tak kereta kita?" aku menjawab "Rasa macam Ok dan mungkin keadaan jalan, alignment kereta lari". Dan aku cadangkan keesokan hari kita boleh pergi service kereta  disebabkan kereta itu pun tidak rehat selepas mengharungi jalan yang berbukit dan berbatu. Asad menghembus rasa lega dan teruskan memandu berpandukan Google Maps di smartphone aku. Google Maps menunjukkan lagi 30 minit untuk sampai di tempat penginanpan Kashmir Lodge dan tiba-tiba kedengaran bunyi yang sangat kuat di bawah kereta "Gedebuk!" dan di sapa Ibrar "Asad, aku rasa kita kena berhenti check kereta" lalu cepat-cepat Asad berhentikan kereta di tepi jalan iaitu di tepi gunung dan ketika itu hari sudah gelap. Kami memerlukan lampu suluh untuk kenalpasti masalah kereta ketika itu. Rupa-rupanya tayar kereta depan sebelah kiri pecah dan kami perlu menukar tayar tersebut. Mujur kami ada tayar spare di dalam bonet. Masing-masing memainkan peranan untuk menukar tayar kereta dan aku hanya membantu mengangkat barang dan menyuluh lampu ke arah tayar untuk ditukar. Perut aku berbunyi ketika itu tanda lapar kerana kami tidak sempat untuk makan besar disebabkan waktu siang yang pendek membuatkan aktiviti menjadi terhad. 

Hampir 30 minit kami menukar tayar kereta tersebut dan Alhamdullilah berjaya! Aku, Asad, Ibrar, Syahmi, Abang Z dan Kak Laily menarik nafas lega dan terus masuk kereta kerana cuaca malam dan suhu luar yang sejuk ketika itu. "Dugaan masuk ke Kashmir" bisik hati aku. Semasa meneruskan perjalanan ke bandar Kashmir iaitu Muzafarabad, kami memainkan lagu 'Solawat ke atas Nabi' yag membuatkan hati ini tenang sekali. Kemudian, semua meminta untuk aku cari kedai makan berdekatan kerana masing-masing tengah lapar. Lalu aku cari menggunakan Google Maps dan terjumpa satu kedai kambing biri-biri asli yang tak jauh dari tempat penginapan kami iaitu 10 minit ke bandar Muzafarabad. 

Alhamdullilah, merasa kami makan makanan tempatan iaitu capati dan kambing biri-biri bakar dan ayam. Memang tak akan sama seperti masakan di Malaysia sebab bau, tekstur dan rasa sangat asli. Berbaloi kami tunggu walaupun hidangan mengambil masa hampir 30 minit untuk siap. Sanagt puas hati dengan hidangan untuk 6 orang dan menu tersbut tak sampai RM100 hanya RM68 sahaja. Murah dan berbaloi, Alhamdullilah. selesai makan kami terus bergerak ke Kashmir Lodge di Muzafarabad dan berehat sambil menikmati kacang dan snek yang dihidang sebelum tidur. Kami diberi dua bilik yang besar. Aku duduk bilik beruda bersama sepupu aku kak Laily manakala yang lelaki semua satu bilik dan harga sangat murah! Puas hati dan sangat recommended untuk sesiapa yang ingin menginap di sana. Seperti biasa, aku dan kak Laily bersembang dan bergurau sampai masing-masing penat terus tertidur. Suhu di Kashmir ketika itu sangat sejuk hampir 6c dan aku memakai baju yang berlapis-lapis untuk tidur yang lebih selesa. 


Ujian yang datang tak akan sama 
untuk kita semua 
malah ia juga tidak sama 
untuk hari ini 
atau esok hingga lusa 
ia berlainan 
dan 
ujian datang 
bukan untuk menyusahkan kita 
tetapi untuk menguji kita
samada kita mahu lawan 
atau kekal dengan senyuman 
sabar
dan perlahan-lahan cari jalan 
untuk selesaikan satu - satu ujian 
dengan izin-Nya
Rabbi yassir wala tu 'assir
Insyaallah 
setiap ujian ada jalan keluar
berdoa dan minta dengan-Nya
Percayalah, setiap kali hujan
akan ada pelangi yang akan bersinar

Perjalanan ke Kashmir bagi aku adalah satu kesedaran dan nikmat yang tak pernah aku sangka, Alhamdullilah. Bersambung ke part yang seterusnya semasa perjalanan Pi Charnasi, Kashmir dan sangat cantik! 


Thursday, January 9, 2020

Pakistan Part 1 (Islamabad)

Hampir seminggu aku fikir samada perlu atau tidak untuk aku teruskan perjalanan ke Pakistan pada akhir hujung tahun ini(2019). Tahun 2017 aku memang berminat untuk ke Pakistan tetapi semangat untuk ke sana bukanlah berkobar-kobar seperti ke Europe dan New Zealand yang aku impikan. Alhamdullilah rezeki Dia walaupun memang aku tak pernah terlintas dan merancang untuk jejak ke negara yang penuh dengan tanda tanya tahun ini. 

Selepas pulang jelajah negara Scandinavia & Iceland buat kali pertama sambil menjadi pemandu pelancong di sana. Banyak benda yang aku belajar dan cukup aku ucap Alhamdullilah untuk peluang yang mahal dan sangat berharga walaupun mungkin tak sempurna. Seterusnya aku teruskan misi aku meneroka negara Baltic, Vilnius dan terus bergerak ke London secara solo. Pengajaran dan pengalaman sepanjang perjalanan memberikan aku satu suntikan baru untuk aku terus pandang ke depan dan mencari nilai dalam diri sendiri.

Sampai sahaja di Malaysia pada akhir November, lalu aku tertarik untuk turut serta sepupu aku yang juga seorang guru. Beliu akan ke Pakistan melawat anak muridnya, Ibrar Khan. Ibrar yang menetap di Malaysia dan mengajak gurunya untuk bercuti dan melawat rumhnya di Islamabad. Seminggu aku berfikir samada ada aku patut pergi ataupun tidak kerana aku ingin 'settle down' beberapa perkara berkaitan kerjaya dan perancangan tahun 2020. Lalu, pelan-pelan aku buka laptop serta kalkulator telefon yang ada di atas meja, untuk aku membuat kiraan kos, masa perjalanan, kaji suhu cuaca dan cari tiket penerbangan murah yang ada.

Setiap malam aku fikir dan setelah seminggu, aku bangun pagi, aku memutuskan untuk terus beli tiket penerbangan terus ke Islamabad. Proses pembelian tiket dan VISA Pakistan yang mengambil masa 3 hari sangat mudah. Aku uruskan semua sendiri dari urusan tiket dan visa penerbangan ke sana. Aku hanya 'follow the flow' ke Pakistan tanpa membuat sebarang carian secara terperinci kerana aku inginkan sesuatu kejutan tanpa meletakkan apa-apa expectation yang tinggi. Aku redha dan terima apa jua situasi yang bakal aku hadapi di sana. Niat aku hanya satu ke sana, aku teringin untuk duduk bersama orang tempatan, meneroka budaya dan peradaban masyarakat di sana. Sudah pasti pengalaman seperti itu adalah mahal dan tak perlu perancangan yang lengkap kerana akan bersama keluarga besar Ibrar di sana.

Pakistan adalah salah satu negara muslim yang selalu diuar-uarkan negara yang sukar untuk masuk dan mempunyai masalah keselamatan dan membuatkan orang tertanya-tanya kenapa Pakistan? Selamatkah Pakistan? Jawapan aku setelah meneroka sendiri negara tersebut, Pakistan adalah negara yang selamat untuk dikunjungi dan pasti akan jatuh hati dengan sikap mereka yang ramah melayan tetamu terutamanya pelancong luar. Budaya mereka yang menghargai pelancong seperti aku membuatkan aku sangat terharu. Sampai sahaja aku di airport Islamabad, kami dijemput oleh Ibrar, pakcik Ibrarm abang beliau Asad dan sepupu perempuan Ibrar iaitu Sapna. Pertama kali memandang Sapna yang memakai jubah sut hitam serta selendang hitam yang menutup separuh muka kelihatan sangat cantik dengan kening dan bulu mata yang hitam menawan. Ternyata, perempuan di Pakistan sangat terjaga, dan wajah mereka rata rata memiliki raut kacukan arab, hindi dan pakistan. Masyaallah cantiknya dia, detik hati ini semasa memandang buat kali pertama. 

Kami dijemput masuk ke dalam kereta dan teksi kerana beg bagasi yang banyak tidak muat untuk diletakkan di dalam satu kereta. Kami menyewa teksi di sana untuk menghantar kesemua beg bagasi ke rumah. Jam 2 pagi, Asad mengajak kami untuk makan di kedai berdekatan dan kami dihidang nasi briyani ayam, lassi dan sayur untuk dijamah walaupun bukan waktu makan. Bayangkan jam 3 pagi kami makan makanan yang berat dan ternyata sedap. Disebabakan kauntiti sepinggan nasi briyani yang banyak, kami putuskan untuk berkongsi sahaja, satu menu dua orang. Perjalanan dari airport Islamabad ke rumah Ibrar mengambil masa dalam satu jam.  

Sampai sahaja di sana, kami dijemput oleh ibu dan mak cik beliau iaitu mak kepada Sapna yang menunggu kami walau hari sudah lewat pagi. Kemudian, ibu Ibrar yang kami panggil Bibi memasang gas untuk memanaskan badan kerana suhu ketika itu cecah 10'c dan sangat sejuk. Kami dijemput duduk dan bertanya khabar dengan mereka lalu kami diberikan tempat tidur dan bilik untuk berehat. Penagalaman aku malam itu sangat kelakar kerana tidur bersama kesemua adik beradik Ibrar satu katil berhimpit dan masih selesa. Bagi aku, ia pengalaman baru tidur bersama local walaupun kami tak faham bahasa masing-masing tetapi tetap boleh berkomunikasi sebelum masing-masing melelapkan mata. 

Bangun awal pagi, keesokan harinya kami dihidang menu breakfast iaitu capati dan teh chai homemade. Homemade ini bererti tepung capati tersebut digaul dan diuli dengan tepung sendiri dan teh chai yang diberi adalah dari susu lembu asli. Sangat sedap dan segar ditambah pula hirup teh chai panas ketika musim sejuk. Bibi yang menebar tepung capati sambil buat teh chai cekap sekali. Aku memerhati cara-cara masakan mereka dan mereka menggunakan konsep 'asal ada' 'asal jadi' dan yang pasti memang sedap untuk dijamah setiap pagi. Kami diterima baik oleh seluruh keluarga Ibrar dan mereka melayan kami dengan penuh kasih sayang seperti keluarga sendiri. Alhamdullilah. 

Kejutan dalam kehidupan 
ada yang indah 
ada yang sukar untuk ditelan 
walau hati ini resah 
asyik fikirkan masa depan 
banyak lagi perkara 
yang baik untuk kita lakukan 
sekarang 

Melihat anak-anak kecil bermain 
diluar rumah, dilorong kecil 
keadaan sekitar yang kotor 
dan tidak terjaga
senyum dan tawa mereka
sangat telus dan bersyukur
dengan apa adanya 

Jalan yang berlecak
tanah yang tidak rata
selut yang tebal
rumah-rumah sekeliling 
yang masih dalam proses pembinaan
menjadikan lorong kecil lebih sempit 
dan 
tanah menjadi kotor 
tetapi mereka dilihat bahagia 
dengan apa adanya 
asalkan bersama keluarga 
dan jiran tetangga

satu aku belajar, 
bersyukur dengan apa yang kita ada
sesungguhnya aku sangat bahagia 
dan bersyukur 
diberi tempat yang selesa
untuk aku berteduh bersama keluaraga
Alhamdullilah 

Insyaallah bersambung Part 2 untuk aku cerita budaya dan cara peradaban mereka yang membuatkan aku jatuh cinta dengan masyarakat di sana. Jika diberi peluang, sesungguhnya aku mahu lagi ke sana untuk jumpa mereka semua dan melepaskan segala rindu yang ada. Insyaallah.