Monday, April 13, 2020

Rindu tak berbalas

Setiap yang bernyawa akan merasai mati…(al-Anbiya':35).

Rindu tak berbalas bila aku merindui arwah tok.... 

RAYA 2012

Untuk makluman, emak saya yang amat dikasihi, Hajah Ramlah bt. Md Isa, telah kembali ke rahmatullah pada 28 September 2019 (28 Muharram 1441H), jam 4.10 petang.

Terima kasih kepada sanak-saudara, jiran tetangga, sahabat handai, kenalan yang datang menziarah dan mendoakan arwah. Alhamdulillah, segala urusan berjalan lancar dan kami adik-beradik sempat menatap wajah emak buat kali terakhir.

Saat mendapat berita emak sedang nazak, memang hati sudah tak keruan. Antara kami 8 beradik, pada masa tu hanya kakak dan adik bongsu ada bersama mak. Tak lama selepas emak nazak, adik hantar mesej whatsapp dalam gp family yang emak dah pergi. Air mata memang tak dapat tahan lagi. Petang tu juga bertolak pulang.

Kalau dulu pulang disambut dgn senyum emak yang sangat manis, tapi kai ini, hanya sekujur tubuh mak menyambut kami.
Saat memandikan jenazah emak, air mata makin laju mengalir. Usap rambut mak, wajah mak. Emak selalu ambil bunga melur dan cempaka letak kat bantal dan sanggul. Jadi rambut mak sentiasa wangi. Wajah mak wangi sebab emak selalu pakai bedak sejuk cap bunga raya (tak tau kat tempat lain ada ke tak). Biasa beli kat pekan Pendang. Pastinya kami merindui bau mak.

Tangan mak, jari mak dah kaku. Tangan inilah yang menyuap makan dulu, memasak makanan kegemaran kami. Asam pedas rebus batang keladi, pajeri jantung pisang, gulai ikan masin tumis darat. Yang pasti, tangan ini jugalah yang sentiasa emak tadah memohon doa untuk kejayaan anak2. Tangan ni juga pernah menulis surat bertanya khabar anak2 ketika mak tunaikan haji tahun 1991. Cantik tulisan mak. Sayang surat tu tak simpan.

Bersihkan najis mak. Tak pernah saya bersihkan najis mak selama ini. Ini kali pertama dan terakhir. Sedangkan emak entah berapa ratus kali cuci najis saya sejak kecil. Yang sedikit itu pun saya x dapat balas. Tak banyak pun pengorbanan saya untuk mak.

Lihat kaki mak yang kaku. Ya Allah, kaki inilah yang berjalan menoreh getah, menanam padi untuk mencari rezeki membesarkan kami. Kaki inilah yang pernah menjejak KL semasa menemani saya interview SPA dulu, kaki inilah yang menemani saya lapor diri di Hospital Jelebu dulu. Kaki inilah yang berjalan menemani saya ketika lahirkan anak sulung dulu. Ya Allah, besarnya jasa emak.

Banyak pesan mak yang masih saya ingat sampai sekarang. Masa kecil dulu, emak pesan sebelum tidur kena baca bismillah 21 kali dan 3 Qul. Mak pesan baca surah al-Ikhlas kalau rasa buntu. Pengalaman mak masa tunaikan haji dulu, mak senang dapat laluan ke jamrah. Mak sampai ke dinding jamrah untuk melontar. Mak kata mak nampak kat mana batu yang mak lontar tu jatuh. Jadi mak bagi tips, kalau buntu, termasuk time exam tak dapat jawab, baca al-Ikhlas. Insha Allah Allah bantu. Tips tu saya turunkan pada anak2.

Mak ada naluri yang kuat dengan anak2. Masa saya kat asrama dulu, kalau saya sakit, mak akan tahu. Emak akan tanya saya bila balik hujung bulan.."Hari tu demam teruk ka?". Sebabnya, emak pun demam juga. Tapi saya tak pula ada naluri yang begitu dengan mak. Bila emak sakit, saya tak sakit pun. Kesian mak. Saya pernah berdoa supaya bila mak kena ‘heart attack’, bagilah sakitnya dada mcm kena tekan tu saya yang rasa. Tapi Allah tak pernah bagi. Mungkin kasih saya pada mak tak setanding kasih mak kepada saya.

Seminggu sebelum mak pergi meninggalkan kami, emak nampak uzur. Mak cakap mak penat. Kami adik beradik pakat balik. Masa tolak mak dengan wheelchair ke tandas dan bilik air untuk mak ambil wuduk, mak cakap "Sampai bila la mak nak susahkan hangpa. Nak kena balik rumah..". Mak, semua tu tak susah pun mak. Tgk mak senyum rasa bahagia sangat.

Selama hayat, arwah mak dan arwah ayah sangat jaga ukhuwah dan silaturrahim dengan sanak saudara dan kawan-kawan, terutama di Kg Pokok Asam dan Kg Belat. Kalau ada jemputan, arwah ayah wajib pergi, kalau tak dapat, ayah akan minta anak2 pergi. Kalau anak2 keberatan nak pergi, ayah akan ungkit jasa sanak saudara dan kawan2 ayah. Nak tak nak, kena pegi. Mak pula, daya ingatan mak cukup kuat. Kalau dalam perjalanan ke mana2, sepanjang jalan mak akan bgtau, kat kg ni, ada anak tok cik, rumah situ sepupu arwah tok wan. Semua mak bgtau. Insha Allah mak, ayah. Kami akan jaga ukhuwah dan silaturrahim ni seperti mana mak dan ayah jaga. Mak dan ayah mesti suka.

Dalam usia emak 79 tahun, emak mengadap Allah, meninggalkan kami 8 beradik dan menantu, 28 cucu dan 6 cicit, yang akan terus merindui mak/ atuk/ nenek sampai bila-bila.

Ya Allah, luaskan kubur mak dan ayah, muliakan mereka, haramkan api neraka daripada menjilat tubuh mereka dan golongkanlah mereka antara 70 ribu orang yang dimasukkan ke dalam syurga tanpa hisab. Amin.

Mak, anak-anak mak yang 3 orang meninggal masa masih baby Abang Md Saad, Abang Md Zohir dan Kak Fauziah mesti tengah tunggu nak pimpin tangan mak masuk ke syurga. Mereka dah bagi syafaat kat mak..

#Notautkmak
#kenanganbuatanak2
#airmatamasihmengalir
28 September 2019

Tuesday, April 7, 2020

Titik Permulaan

Berpijak aku ditanah komunis ini 
memberi satu rasa kagum yang tak pernah aku impi 
nikmat ini 
tiada siapa yang mampu beri 
selain Dia yang Maha Pemberi 
ketika ini
jika aku jatuh sekali lagi 
Kau berilah kekuatan untuk aku 
bangun kembali 
dari permulaan yang sukar 
hingga pertengahan yang masih terasa 
seperti di dalam mimpi hari hari 
dan aku semestinya berusaha
untuk pengakhiran yang Kau redhai 
yang terbaik aku yakin dari Mu 
yang senget kanan dan kiri
aku pasti 
dari hamba Mu yang hina ini

hari ini 
tiada harapan yang aku impi 
tiada ganjaran yang ingin aku curi 
cukupah kekuatan dan kesabaran 
untuk aku bangun 
dan kejar kembali 
apa yang pernah aku impi 
suatu ketika dahulu 
sukarnya waktu itu 
kecewanya waktu itu 
besarnya pengorbanan itu 
untuk aku insan yang dahagakan ilmu 
ilmu ini bukan untuk aku simpan sendiri 
tapi 
untuk aku kerjakan nanti 
untuk anak anak tujuh generasi 
yang mungkin tak akan aku jumpa
di dunia ini 
tetapi biarlah ilmu ini
bermanfaat untuk semua yang mengerti 
sukarnya permulaan hari ini
untuk kejayaan yang setia menanti 
di hujung hari 
Insyaallah. 

Todman Ave, Kensington 
7 April 2020
3.30pm