Sunday, January 12, 2020

Pakistan Part 2 (Muzafarabad Kashmir)

Setelah selesai kami meneroka kota Islamabad dari awal pagi di Sainturus Mall, Masjid Faisal dan makan tengah hari di Puncak Margalla Hills lalu terus bermain bowling dan mengambil angin malam sambil menghayati suasana di Jinnah Park, Islamabad terasa hari tersebut penuh diisi. Kami betul betul meluangkan masa dengan aktiviti 'warm up' semasa hari kedua di Islamabad. Selesai semua aktiviti yang santai, kami terus balik ke rumah dan menikmati teh chai dan capati hasil tangan Bibi. Untuk hari ketiga kami merancang untuk ke Murree dan pulang semula ke Islamabad tetapi perancangan Dia adalah yang terbaik, kami dapat meneruskan perjalanan ke Kashmir. 

Kashmir bukanlah dalam perancangan kami tetapi disebabkan laluan dari Murree ke Kashmir tidaklah terlalu jauh jadi last minute kami bersetuju untuk teruskan perjalanan terus ke Kashmir selepas menghirup teh chai di tepi lereng-lereng gunung yang dipenuhi salji semasa di Murree. Kawasan di Murree memang cantik dan ketika itu salji sudah mula menghiasi gunung-gunung. Setiap pemandangan dan kawasan yang cantik, kami akan berhenti untuk bergambar terlebih dahulu sambil memuji dan menghayati keindahan dunia yang Dia beri. Subhanallah indah sekali. Pakistan memang satu negara yang bagi aku semua serba cukup dan lengkap. 

Islamabad ke Kashmir mengambil masa dalam 2 jam setengah dan laluan di sana agak mencabar kerana jalan yang berbukit,bengkang-bengkok, sempit dan tidak rata membuatkan badan cepat letih apabila berada di dalam kereta seharian. Jadi eloklah berhenti untuk singgah di tepian gunung bergambar atau masjid untuk solat. Sepanjang perjalanan dari Islamabad ke Murree aku tertarik dengan jualan Cadar atau di Malaysia lebih dikenali sebagai Pashmina. Cadar yang dijual digantung dan disusun begitu kemas sekali. Sulaman bunga dan corak adalah 100% buatan sendiri dan hasil tangan orang tempatan. Aku pun mengambil satu untuk kenangan dan cuba memakai seperti orang Pakistan. 

Kashmir adalah salah satu negara yang jadi rebutan kerana keindahan pemandangan dan kesuburan hasil tanaman yang subur seperti buah-buahan dan sayur-sayuran persis juga di beberapa daerah Pakistan yang subur dengan buah limau, gandum, tebu, bawang dan banyak lagi! Sejak isu rebutan Kashmir, menjadikan hubungan Pakistan dan India tidak baik dan ia menyebabkan tomato tidak lagi diberikan kepada Pakistan dan bawang juga tidak dihantar ke India. Dipendekkan cerita, India rugi bawang dan Pakistan rugi tomato yang sebelum ini kedua-dua negara yang saling memerlukan.Untuk masuk ke Kashmir, kawalan mereka juga sangat ketat kerana ada beberapa 'check post' sebelum jejak ke Kashmir. 

Sebelum sampai di Kashmir, kami belum menempah hotel atau tempat bermalam lalu cepat-cepat aku ambil smartphone dan masuk booking.com untuk membuat tempahan dan mujur masih ada ruang untuk kami bermalam. Semasa di 'check post' agak lama Asad disoal siasat dibawa bersama kelima-lima passport kami dan kami menunggu di dalam kereta. Memandangkan interview di polis itu mengambil masa yang agak lama, kami sempat lagi turun dan menghayati udara Kashmir di Jhelum River dan terus solat Jamak di  situ. Rata-rata penduduk Kashmir adalah muslim jadi tak perlu risau jika ingin solat di sana. Kami tidak boleh pergi sehingga ke hujung daerah Kashmir dan hanya beberapa daerah sahaja kami dapat pergi. Berlainan pula dengan passport aku, bak kata polis Kashmir, passport aku boleh pergi hingga ke hujung Kashmir kerana terdapat cop banyak nergara dan mereka tahu aku adalah seorang pelancong biasa bukanlah pengintip atau pengganas. Manakala, passport yang lain hanya boleh melawat sehingga daerah Neelum sahaja. 

Ketika masuk di Kashmir, waktu sudah hampir malam iaitu jam 5 petang dan sudah pun masuk waktu Maghrib. Kami sudah siap-siap solat jamak dan hanyak perlu meneruskan perjalanan terus ke Kashmir Lodge yang baru sahaja selesai ditempah semasa di check-post Kashmir. Oh ya sebelum terlupa, polis juga minta apa perancangan kami dan tujuan kami ke Kashmir. Mereka meminta itinari dan juga tempat tinggal kami di sana. Selesai semua sesi soal siasat dan polis tersebut mengucapkan 
'Welcome to Kashmir' sambil mengangkat tangan di kepala persis askar di sini, terasa lega sekali kami dilepaskan masuk ke Kashmir untuk pertama kali. 

Laluan yang dihiasi gunung-ganang dan sungai yang indah membuatkan rasa dan semangat berkobar-kobar untuk meneroka bandar Kashmir. Hari sudah hampir gelap, sambil melayan sunset didengari lagu-lagu tempatan orang Pakistan terasa seperti di dalam mimpi. Tiba-tiba terasa kesimbangan kereta tidak berapa lancar lalu Asad bertanya, "Hanis ada rasa lain tak kereta kita?" aku menjawab "Rasa macam Ok dan mungkin keadaan jalan, alignment kereta lari". Dan aku cadangkan keesokan hari kita boleh pergi service kereta  disebabkan kereta itu pun tidak rehat selepas mengharungi jalan yang berbukit dan berbatu. Asad menghembus rasa lega dan teruskan memandu berpandukan Google Maps di smartphone aku. Google Maps menunjukkan lagi 30 minit untuk sampai di tempat penginanpan Kashmir Lodge dan tiba-tiba kedengaran bunyi yang sangat kuat di bawah kereta "Gedebuk!" dan di sapa Ibrar "Asad, aku rasa kita kena berhenti check kereta" lalu cepat-cepat Asad berhentikan kereta di tepi jalan iaitu di tepi gunung dan ketika itu hari sudah gelap. Kami memerlukan lampu suluh untuk kenalpasti masalah kereta ketika itu. Rupa-rupanya tayar kereta depan sebelah kiri pecah dan kami perlu menukar tayar tersebut. Mujur kami ada tayar spare di dalam bonet. Masing-masing memainkan peranan untuk menukar tayar kereta dan aku hanya membantu mengangkat barang dan menyuluh lampu ke arah tayar untuk ditukar. Perut aku berbunyi ketika itu tanda lapar kerana kami tidak sempat untuk makan besar disebabkan waktu siang yang pendek membuatkan aktiviti menjadi terhad. 

Hampir 30 minit kami menukar tayar kereta tersebut dan Alhamdullilah berjaya! Aku, Asad, Ibrar, Syahmi, Abang Z dan Kak Laily menarik nafas lega dan terus masuk kereta kerana cuaca malam dan suhu luar yang sejuk ketika itu. "Dugaan masuk ke Kashmir" bisik hati aku. Semasa meneruskan perjalanan ke bandar Kashmir iaitu Muzafarabad, kami memainkan lagu 'Solawat ke atas Nabi' yag membuatkan hati ini tenang sekali. Kemudian, semua meminta untuk aku cari kedai makan berdekatan kerana masing-masing tengah lapar. Lalu aku cari menggunakan Google Maps dan terjumpa satu kedai kambing biri-biri asli yang tak jauh dari tempat penginapan kami iaitu 10 minit ke bandar Muzafarabad. 

Alhamdullilah, merasa kami makan makanan tempatan iaitu capati dan kambing biri-biri bakar dan ayam. Memang tak akan sama seperti masakan di Malaysia sebab bau, tekstur dan rasa sangat asli. Berbaloi kami tunggu walaupun hidangan mengambil masa hampir 30 minit untuk siap. Sanagt puas hati dengan hidangan untuk 6 orang dan menu tersbut tak sampai RM100 hanya RM68 sahaja. Murah dan berbaloi, Alhamdullilah. selesai makan kami terus bergerak ke Kashmir Lodge di Muzafarabad dan berehat sambil menikmati kacang dan snek yang dihidang sebelum tidur. Kami diberi dua bilik yang besar. Aku duduk bilik beruda bersama sepupu aku kak Laily manakala yang lelaki semua satu bilik dan harga sangat murah! Puas hati dan sangat recommended untuk sesiapa yang ingin menginap di sana. Seperti biasa, aku dan kak Laily bersembang dan bergurau sampai masing-masing penat terus tertidur. Suhu di Kashmir ketika itu sangat sejuk hampir 6c dan aku memakai baju yang berlapis-lapis untuk tidur yang lebih selesa. 


Ujian yang datang tak akan sama 
untuk kita semua 
malah ia juga tidak sama 
untuk hari ini 
atau esok hingga lusa 
ia berlainan 
dan 
ujian datang 
bukan untuk menyusahkan kita 
tetapi untuk menguji kita
samada kita mahu lawan 
atau kekal dengan senyuman 
sabar
dan perlahan-lahan cari jalan 
untuk selesaikan satu - satu ujian 
dengan izin-Nya
Rabbi yassir wala tu 'assir
Insyaallah 
setiap ujian ada jalan keluar
berdoa dan minta dengan-Nya
Percayalah, setiap kali hujan
akan ada pelangi yang akan bersinar

Perjalanan ke Kashmir bagi aku adalah satu kesedaran dan nikmat yang tak pernah aku sangka, Alhamdullilah. Bersambung ke part yang seterusnya semasa perjalanan Pi Charnasi, Kashmir dan sangat cantik! 


No comments: